BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan tentera Israel ke atas negara itu sejak Isnin telah mengorbankan 77 orang, manakala 527 lagi dilaporkan cedera.
Menurut kenyataan kementerian, angka kematian itu meningkat selepas sekurang-kurangnya lapan individu terkorban dalam serangan terbaharu hari ini, termasuk empat ahli daripada keluarga sama di kampung Kfar Tebnit di selatan Lubnan.
"Serangan udara berterusan ini telah menyasarkan beberapa kawasan penempatan, mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis dalam kalangan orang awam dan kemusnahan infrastruktur," lapor agensi berita antarabangsa yang memetik sumber perubatan tempatan.
Pihak berkuasa Lubnan turut memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan di selatan negara itu kini berada di bawah tekanan hebat susulan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang memerlukan rawatan kecemasan.
Situasi di sempadan Lubnan-Israel dilaporkan semakin meruncing selepas rejim Zionis memperhebatkan kempen ketenteraannya selari dengan konflik yang sedang melanda Iran dan rantau Asia Barat ketika ini.