Skip to main content

Dunia

70 terbunuh, 30 cedera dalam serangan kumpulan bersenjata di Haiti

FILE PHOTO: Haitian security forces partrol the Prime Minister's office and the headquarters of the Transitional Presidential Council (CPT), as the mandate of the transitional governing council, formed to curb gang violence and pave the way for long-delayed election, is set to end on February 7 with no succession plan in place, in Port-au-Prince, Haiti, February 6, 2026. REUTERS/Egeder Pq Fildor/File Photo
Pasukan keselamatan Haiti membuat rondaan di pejabat Perdana Menteri dan ibu pejabat Majlis Presiden Peralihan (CPT), ketika mandat majlis pentadbiran peralihan yang ditubuhkan untuk membendung keganasan kumpulan bersenjata. - Gambar fail Reuters

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam serangan berhampiran Petite-Riviere di wilayah Artibonite, kawasan pengeluaran makanan utama Haiti, menurut kumpulan hak asasi manusia, Defenseurs Plus - angka yang jauh lebih tinggi berbanding anggaran rasmi sekitar 16 orang.

Penduduk dan pegawai tempatan memaklumkan kepada media bahawa serangan bermula pada awal pagi Ahad di beberapa komuniti luar bandar sekitar Jean-Denis dan berlarutan hingga awal pagi Isnin, apabila ahli kumpulan bersenjata menyerbu kawasan tersebut dan membakar rumah penduduk.

Kumpulan Defenseurs Plus menganggarkan 6,000 orang terpaksa berpindah, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum itu menganggarkan lebih 2,000 orang melarikan diri beberapa hari sebelumnya akibat serbuan kumpulan bersenjata di kawasan berhampiran.

Polis pada mulanya melaporkan 16 maut dan 10 cedera, manakala laporan awal pihak perlindungan awam menyebut 17 terbunuh dan 19 cedera, kebanyakannya lelaki.

Seorang jurucakap Setiausaha Agung PBB dalam satu sidang media memaklumkan, pejabat PBB di Haiti (BINUH) sedang memantau rapat perkembangan itu, dengan anggaran korban yang berbeza antara 10 hingga 80 orang. 

Beliau turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Dalam kenyataan bersama dengan Collective to Save the Artibonite, Defenseurs Plus berkata: “Ketiadaan tindak balas keselamatan dan hakikat bahawa Artibonite dibiarkan kepada kumpulan bersenjata menunjukkan kegagalan sepenuhnya pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab.”

Satu mesej audio yang tular di media sosial dikaitkan dengan pemimpin kumpulan Gran Grif, Luckson Elan. 

Dalam rakaman itu, Elan mendakwa, serangan berkenaan adalah tindakan balas terhadap serangan oleh kumpulan bersenjata pesaing ke atas pangkalan mereka di Savien.

Wilayah Artibonite, salah satu kawasan pertanian penting Haiti, telah menyaksikan beberapa siri keganasan paling buruk di negara itu. 

Konflik kumpulan bersenjata sudah merebak keluar dari ibu kota Port-au-Prince meskipun pihak berkuasa meningkatkan operasi keselamatan dan menerima janji sokongan luar negara kepada pasukan keselamatan Haiti.

Polis Kebangsaan Haiti memaklumkan, mereka menghantar tiga kenderaan perisai, namun pergerakan mereka perlahan kerana jalan telah dikorek oleh kumpulan bersenjata. 

Menurut pegawai, kumpulan bersenjata itu sedang melarikan diri apabila polis tiba, dengan beberapa rumah telahpun dibakar.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan manakala yang maut dihantar ke dua buah rumah mayat. 

Polis berkata, operasi kini dijalankan bagi menjejaki ahli kumpulan bersenjata yang melarikan diri.

Defenseurs Plus menganggarkan 50 buah rumah musnah dibakar dalam serangan tersebut.

Menurut laporan PBB baru-baru ini, hampir 20,000 orang telah terbunuh di Haiti sejak 2021, dengan angka korban meningkat setiap tahun apabila kumpulan bersenjata yang semakin kuat dan bebas berkonflik dengan pasukan keselamatan serta kumpulan penduduk yang menjaga kawasan masing-masing.

Kumpulan Gran Grif dan Viv Ansanm yang terdiri daripada ratusan geng di ibu kota elah diisytiharkan sebagai organisasi “pengganas” oleh Amerika Syarikat. 

Kumpulan-kumpulan itu dituduh terlibat dalam pembunuhan besar-besaran, rogol berkumpulan, pembakaran, kecurian dan penyeludupan senjata, dadah serta organ manusia.

Pada bulan ini, Amerika Syarikat menawarkan ganjaran sehingga AS$3 juta untuk maklumat berkaitan aktiviti kewangan kumpulan tersebut.

Serangan pada hujung minggu itu merupakan episod terbaharu daripada siri pembunuhan beramai-ramai di kawasan tersebut, kebanyakannya dikaitkan dengan Gran Grif. 

Pada Oktober 2024, serangan kumpulan itu di Pont-Sonde menyebabkan 115 orang terbunuh apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke rumah-rumah penduduk.

Lebih 1.4 juta orang - kira-kira 12 peratus daripada populasi negara Caribbean itu kini kehilangan tempat tinggal akibat konflik dengan kumpulan bersenjata, sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi dan akses kepada bekalan makanan. - Agensi

Must Watch Video