Skip to main content

Bisnes

TNB bangunkan masa depan tenaga pintar melalui AI, sinergi tenaga kerja

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) melihat peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai tidak menggantikan pekerja, sebaliknya menjadi instrumen berkesan untuk meningkatkan keupayaan manusia dalam membuat keputusan ketika TNB meneruskan perjalanan transformasi digital ke arah pelepasan karbon sifar bersih 2050.
Azlan berkata, TNB berusaha untuk memastikan landskap tenaga Malaysia yang sentiasa berkembang kekal berdaya tahan, inklusif dan menjadi lebih baik pada masa akan datang. - Foto TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melihat peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai tidak menggantikan pekerja, sebaliknya menjadi instrumen berkesan untuk meningkatkan keupayaan manusia dalam membuat keputusan ketika TNB meneruskan perjalanan transformasi digital ke arah pelepasan karbon sifar bersih 2050.

Mewakili TNB pada Forum Kepimpinan CIO Gartner APAC 2026 di Sydney baru-baru ini, Ketua Pegawai Digital dan Maklumat TNB Azlan Ahmad berkata transformasi yang bermakna pada skala nasional memerlukan usaha untuk merapatkan jurang antara dua budaya organisasi yang telah lama wujud.

Budaya itu adalah pola pemikiran kejuruteraan yang menumpukan kepada pembinaan sistem dan pola pemikiran teknologi maklumat yang memfokuskan kepada penyelesaian masalah.

Dengan menggalakkan kerjasama antara kedua-dua bidang itu, syarikat utiliti berkenaan berhasrat untuk memastikan apabila grid nasional menjadi semakin pintar, tenaga kerja itu sendiri akan lebih berwibawa.

"Kejayaan dalam transformasi berkenaan bukan sahaja diukur melalui penggunaan teknologi, malah melalui kesediaan psikologi organisasi," katanya pada forum berkenaan.

Beliau berkata usaha itu diperkukuh melalui Program Memanfaatkan Potensi Nilai TNB, iaitu rangka kerja seluruh organisasi yang direka untuk memastikan setiap inisiatif memberikan hasil yang boleh dinilai dari segi keuntungan, kecekapan operasi dan pematuhan kawal selia.

Bagi menangani cabaran dalam peralihan itu, Azlan menekankan mengenai kepentingan melibatkan pekerja berdasarkan tahap kesediaan mereka yang berbeza untuk menerima perubahan.

Beliau pada masa sama turut mengetengahkan perspektif yang berlainan di antara pengguna yang cepat menerima teknologi baharu dengan jurutera konservatif yang mengutamakan kestabilan sistem kawalan kritikal.

Menurutnya pendekatan berpaksikan manusia memerlukan pembinaan kepercayaan dan mengekalkan penglibatan yang mendalam dengan pekerja lama sebelum melaksanakan sebarang inisiatif digital.

“Dengan menyelesaikan kebimbangan mengenai keselamatan pekerjaan dan meningkatkan peranan tenaga kerja daripada tugas manual kepada peranan penasihat yang lebih bernilai tinggi, teknologi berfungsi sebagai sistem saraf yang membantu manusia mengharungi peralihan tenaga yang kompleks,” katanya.

TNB berpendapat, perjalanan ke arah pelepasan karbon sifar bersih 2050 dipandu oleh kecerdasan dan empati, selain didorong oleh manfaat besar yang boleh dibawakan AI kepada negara.

“Usaha ini bukan sekadar menaik taraf grid tetapi evolusi legasi negara, dengan memperkasakan tenaga kerja untuk menjadi pencipta bersama masa depan digital,” kata Azlan.

Beliau berkata melalui pendekatan itu, TNB berusaha untuk memastikan landskap tenaga Malaysia yang sentiasa berkembang kekal berdaya tahan, inklusif dan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Forum berkenaan menjadi platform penting untuk menunjukkan kematangan TNB dalam mengembangkan AI, bukan sekadar mengikut trend industri untuk memberi tumpuan kepada kesediaan psikologi dan daya tahan operasi yang diperlukan oleh tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement