KUALA LUMPUR: Semakan fi yang dilaksanakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini bertujuan memastikan kewangan badan pengawal selia itu mampan untuk jangka panjang berikutan struktur pendapatan semasanya adalah berkait rapat dengan aktiviti pasaran, menurut SC.
Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pendapatan suruhanjaya itu sebahagian besarnya berubah-ubah berikutan levi yang dikenakan adalah berdasarkan nilai transaksi dalam pasaran modal.
“Kami tidak mengubahnya selama 30 tahun. Saya berpendapat adalah wajar untuk kita laksanakannya ketika ini, dan kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak (melakukannya) untuk tujuan keuntungan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat Laporan Tahunan SC 2025 di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata hasil tambahan itu akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan, termasuk melalui penggunaan teknologi yang lebih meluas.
-- BERNAMA