KUALA LUMPUR: Anak syarikat DRB-Hicom Bhd, Proton Holdings Bhd telah memainkan peranan penting dalam membangunkan industri automotif negara dan rangkaian vendor sokongannya, sambil memastikan pengguna Malaysia terus mendapat akses kepada kenderaan yang selamat, berkualiti tinggi dan berharga kompetitif.
Sebagai pengeluar peralatan asli automotif tempatan pertama di Malaysia, pembuat kereta itu berkata komitmen terhadap ekosistem tempatan ini dicerminkan dalam nilai pembelian tempatan Proton yang mencecah lebih daripada RM17 bilion dalam tempoh lima tahun lepas (2021–2025), ia diunjurkan meningkat kepada kira-kira RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang (2026–2030)
Ia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan strategi dan pelaburannya kekal sejajar dengan agenda negara yang lebih luas.
Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata Proton komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi industri dan mobiliti jangka panjang kerajaan dengan mengukuhkan ekosistem automotif tempatan, membangunkan bakat Malaysia termasuk menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan.
“Melalui kerjasama erat dan berterusan dengan kerajaan serta pihak berkepentingan industri, Proton akan terus memainkan peranan dalam memastikan industri automotif Malaysia kekal relevan dan berdaya saing semasa ia berkembang,” katanya melalui satu kenyataan.
Seiringan itu, Proton telah mengembangkan jejak eksportnya dengan produk sedia eksport yang memenuhi standard antarabangsa dan jangkaan kualiti, ia kini hadir di 18 pasaran antarabangsa, dengan matlamat jelas iaitu untuk menggandakan kehadiran ini dalam tempoh lima tahun akan datang, mencerminkan keyakinannya terhadap daya saing global produknya.
Sementara itu, penambahbaikan berterusan dalam kualiti produk, penggunaan teknologi dan kekuatan jenama telah membolehkan syarikat tersebut memperdalam kepercayaan pengguna serta kekal responsif terhadap jangkaan pasaran yang berubah-ubah, di peringkat domestik dan antarabangsa.
Pencapaian Proton sehingga kini juga telah disokong oleh hala tuju dasar kerajaan dan pelaksanaan rangka kerja automotif serta perindustrian yang menggalakkan pembangunan industri selain memberikan kejelasan untuk pelaburan yang berterusan.
Memandang ke hadapan, pembuat kereta itu berkata ia kekal komited untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan berterusan industri automotif Malaysia, untuk manfaat negara, rakyat dan kedudukannya dalam landskap automotif global.
-- BERNAMA