KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia merosot 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, dan berkurang 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran pada Februari 2026 terutamanya disumbangkan oleh pekebun kecil, iaitu berjumlah 87 peratus, berbanding dengan estet pada 13 peratus.
Menurut DOSM, jumlah stok getah asli meningkat 3.3 peratus kepada 139,985 tan pada Februari 2026 daripada 135,534 tan pada Januari 2026, dengan kilang pemproses getah menyumbang stok sebanyak 78.5 peratus, diikuti oleh kilang pengguna getah (21.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
DOSM memaklumkan bahawa eksport getah asli Malaysia menyusut 20 peratus kepada 33,897 tan pada Februari 2026 daripada 42,386 tan pada Januari 2026.
Sementara itu, China kekal sebagai destinasi utama bagi eksport getah asli, iaitu sebanyak 48.9 peratus daripada jumlah eksport Februari 2026, diikuti oleh Jerman (17.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (10.1 peratus), Portugal (3.5 peratus) dan Brazil (3.2 peratus).
“Prestasi eksport didorong oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.
“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah, bernilai RM0.9 bilion pada Februari 2026, susut 23.9 peratus daripada RM1.3 bilion pada Januari 2026,” tambahnya.
Menurut DOSM harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat meningkat 1.8 peratus kepada 586.69 sen sekilogram pada Februari 2026 daripada 576.14 sen sekilogram pada Januari, manakala sekerap meningkat dua peratus kepada 631.13 sen sekilogram daripada 618.72 sen sekilogram.
World Bank Commodity Price Data melaporkan bahawa harga getah jenis TSR (Technically Specified Rubber) 20 meningkat 4.5 peratus kepada US$1.93 sekilogram pada Februari daripada US$1.84 sekilogram pada Januari, manakala harga Singapura/Malaysia meningkat 5.4 peratus kepada US$2.26 sekilogram daripada US$2.14 sekilogram.
-- BERNAMA