SEOUL: Nilai pasaran Samsung Electronics melepasi paras AS$1 trilion buat kali pertama pada Rabu, didorong manfaat ledakan permintaan cip kecerdasan buatan (AI) yang turut melonjakkan indeks saham utama Korea Selatan ke paras tertinggi.
Pencapaian bersejarah itu hadir ketika Samsung muncul sebagai antara pemain utama, seiring pesaing domestiknya, SK Hynix, dalam pembekalan cip berprestasi tinggi yang menjadi tunjang kepada syarikat-syarikat global untuk bersaing dalam industri AI yang berkembang pesat.
Perkembangan tersebut turut mendorong indeks penanda aras Kospi di Seoul melonjak ke paras rekod, mencerminkan kesan positif ledakan AI terhadap pertumbuhan ekonomi Korea Selatan.
Saham Samsung meningkat hampir 12 peratus dalam dagangan pagi, sekali gus melonjakkan nilai pasarannya melepasi ambang AS$1 trilion.
Saham SK Hynix turut mencatat kenaikan sekitar 10 peratus.
Lonjakan itu berlaku seiring peningkatan lebih lima peratus indeks Kospi, yang melepasi paras 7,000 mata buat kali pertama ketika dagangan dibuka.
Minggu lalu, Samsung merekodkan keuntungan suku pertama tertinggi dalam sejarah syarikat, dengan laporan kewangannya dikeluarkan ketika kerajaan Korea Selatan mempergiat usaha untuk muncul sebagai antara tiga kuasa AI teratas dunia, bersama Amerika Syarikat dan China.
Sepanjang tempoh setahun lalu, saham Samsung meningkat kira-kira 300 peratus, dipacu pertumbuhan mendadak permintaan berkaitan teknologi AI yang memberi rangsangan besar kepada ekonomi negara itu.
Menurut Bloomberg News, Samsung kini menjadi syarikat Asia kedua selepas Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) yang mencapai nilai permodalan pasaran AS$1 trilion.
Samsung sebelum ini memaklumkan, keuntungan operasinya melonjak 750 peratus tahun ke tahun kepada paras tertinggi suku pertama, mencecah 57.2 trilion won, atau sekitar AS$39.3 bilion.
Syarikat itu mengaitkan prestasi kukuh berkenaan dengan inovasi teknologi AI serta tindak balas pasaran yang proaktif, selain menjangkakan permintaan kukuh bagi cip memori akan berterusan pada suku kedua selari dengan pembangunan infrastruktur AI di peringkat global. - Agensi