KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh ekosistem pelaburan teknologi negara menerusi pelancaran dana pelaburan awam-swasta pertama oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
Dana yang dinamakan Dana MTDC Tradeview Quantum merupakan hasil kerjasama dengan Tradeview Capital Sdn. Bhd.
Majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat dan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
Dana berkenaan diwujudkan susulan pemeteraian perjanjian usaha sama antara MTDC dan Tradeview Capital Sdn. Bhd. yang membawa kepada penubuhan Modal Lestari Sdn. Bhd. sebagai syarikat pengurusan dana bagi kerjasama tersebut.
Usaha sama itu melibatkan pegangan 50:50 dengan modal permulaan sebanyak RM20 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Mohammad Hazani Hassan berkata, penubuhan dana itu menandakan langkah baharu MTDC dalam memperkukuh model kerjasama pelaburan antara sektor awam dan swasta.
“Kami mempunyai banyak rakan kongsi, termasuk syarikat-syarikat dalam Sandbox dan pelaburan peringkat awal. Melalui kerjasama dengan Quantum Fund, kita dapat mempercepatkan proses kerana kita memahami aliran dan keperluan syarikat untuk membawa teknologi mereka ke pasaran.
"Mereka membawa pengetahuan tentang pasaran dan bagaimana pasaran dapat menarik rangkaian, sekali gus mempercepatkan perjalanan syarikat ke pasaran.
"Kami berharap hubungan ini berjaya kerana kami membawa kepelbagaian kemahiran. Kami semua adalah pakar teknologi, manakala mereka lebih kepada pasaran modal.
"Dengan gabungan ini, kami yakin dapat mempercepatkan proses pembangunan syarikat. Dari hari pertama lagi, kami sudah tahu di mana hala tuju keluar (exit) yang akan diambil," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dana tersebut di ibu negara.
Melalui Modal Lestari, Dana MTDC Tradeview Quantum akan memberi tumpuan kepada pelaburan peringkat awal hingga Series A dalam sektor seperti semikonduktor, Industri 4.0, pembuatan industri, tenaga hijau, teknologi makanan, teknologi pertanian dan teknologi kewangan.
Pelancaran dana tersebut mencerminkan usaha berterusan MOSTI melalui MTDC untuk memperkukuh ekosistem pembiayaan teknologi negara melalui model pelaburan inovatif yang menggabungkan modal institusi dan kepakaran pengurusan dana sektor swasta.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 3,000 pertubuhan di negara ini terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan lebih 1.1 juta individu terbabit dalam peranan berkaitan R&D.
Sebagai agensi utama dalam pembangunan teknologi tempatan, MTDC memainkan peranan penting dalam mempercepat pertumbuhan syarikat teknologi melalui pembiayaan strategik, pembangunan syarikat berpotensi tinggi serta menghubungkan inovasi kepada pasaran dan pelaburan bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.