PARIS: Konglomerat barangan mewah global, LVMH, bersetuju menjual jenama fesyen Marc Jacobs pada nilai £640 juta (kira-kira RM3.55 bilion).
Langkah itu dibuat sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi syarikat susulan penurunan permintaan terhadap barangan mewah global.
LVMH menandatangani perjanjian dengan WHP Global dan G-III Apparel Group, yang membentuk sebuah syarikat usaha sama bagi mengambil alih jenama tersebut.
Menurut laporan, syarikat usaha sama itu akan membayar £640 juta untuk menyelesaikan urus niaga pemilikan jenama berkenaan.
Langkah pelupusan itu dilakukan selepas LVMH merekodkan penurunan jualan dalam beberapa suku kebelakangan ini, dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi di pasaran utama seperti China dan Amerika Syarikat.
Penjualan Marc Jacobs membolehkan LVMH memberi tumpuan kepada portfolio jenama teras yang lebih menguntungkan, termasuk Louis Vuitton dan Dior.
Dalam kenyataan bersama, WHP Global dan G-III Apparel Group menyatakan keyakinan untuk mengembangkan jenama Marc Jacobs melalui saluran digital serta jaringan runcit global.