Skip to main content

Bisnes

Konflik Asia Barat: Kerajaan laksana langkah intervensi serap impak ekonomi rakyat luar bandar

Menteri Ekonomi, Konflik Asia Barat, Sime Darby
Akmal Nasrullah ketika lawatan kerja bagi meninjau pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV), di sini, pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI

NILAI: Kenaikan kos bahan api susulan konflik Asia Barat kini dirasai rakyat di kawasan luar bandar termasuk petani dan nelayan apabila aktiviti ekonomi mereka mula menerima kesannya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan sedang melaksanakan langkah intervensi bagi memastikan aliran ekonomi terus berjalan tanpa gangguan signifikan.

Tambahnya, peningkatan harga diesel memberi tekanan kos sara hidup kepada golongan yang bergantung dengan kenderaan dan jentera untuk tugasan harian, seperti petani dan nelayan.

“Kementerian Ekonomi pada waktu ini melihat daripada sudut makro, termasuk kesan ekonomi jangka sederhana dan panjang.

“Kita mahu memastikan kesan rantaian daripada konflik geopolitik tidak mengganggu secara total aktiviti ekonomi, selain memastikan kelangsungan produktiviti negara,” jelas Akmal.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja bagi meninjau pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV), di sini, pada Khamis.

Selain itu, kerajaan turut mengambil kira tekanan dihadapi rakyat akibat krisis tenaga global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga input industri.

“Apabila berlaku krisis tenaga global, mana-mana sektor yang bergantung kepada bahan api fosil akan terkesan. Ini termasuk industri dan juga pengguna di luar bandar.

“Kerajaan ketika ini menampung subsidi bahan api yang tinggi, dengan subsidi RON95 mencecah sekitar RM4.7 bilion sebulan, sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

“Pendekatan kerajaan adalah memastikan kelangsungan ekonomi terus terpelihara, termasuk melalui sokongan terhadap perbelanjaan rakyat dan pelaburan swasta,” kata Akmal.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan kesan ekonomi daripada konflik Asia Barat berpotensi dirasai selama sekurang-kurangnya enam bulan dan mungkin sehingga setahun.

“Perancangan dan penyusunan ekonomi perlu melihat ke hadapan, termasuk memastikan keutamaan semasa dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan komited untuk memastikan keseimbangan antara pengurusan impak segera kepada rakyat dan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kementerian akan terus memantau situasi melalui data dan maklum balas industri, di samping memastikan projek-projek pembangunan utama diteruskan bagi merangsang ekonomi setempat,” kata Akmal.

Must Watch Video