KUALA LUMPUR: Insentif pelaburan yang ditawarkan kerajaan kepada syarikat asing tidak seharusnya dilihat sebagai 'membayar syarikat untuk datang', sebaliknya sebagai strategi membina ekosistem industri, bakat tempatan dan keupayaan teknologi negara.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam hal ini, Malaysia sebenarnya mahukan pelaburan yang benar-benar memberi impak besar kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Jadi, jangan sempitkan perbincangan mengenai insentif yang sama dengan bayar syarikat untuk datang (ke Malaysia). Persoalan sebenar adalah sama ada insentif itu memberi pulangan yang setimpal kepada Malaysia.
“Sebab itu kita ada Kerangka Insentif Baharu (NIF) supaya insentif tidak diberi secara kosong tetapi diikat kepada penghasilannya,” katanya menerusi video di platform media sosial Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata contoh yang sangat baik ialah SkyeChip Bhd, syarikat Malaysia yang terlibat dalam reka bentuk Harta Intelek (IP) dan litar bersepadu (IC) untuk kecerdasan buatan (AI) serta pembuatan berprestasi tinggi.
“Dalam bahasa mudah, mereka terlibat untuk kerja-kerja reka bentuk cip, iaitu bahagian bernilai tinggi dalam industri semikonduktor, bukan sekadar pemasangan.
“Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip ialah rakyat Malaysia yang bekerja lebih 20 tahun di Intel. Beliau merupakan antara pengasas Intel Design Center di Malaysia sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri, iaitu SkyeChip,” katanya.
Beliau berkata pada peringkat awal dengan adanya pelaburan daripada syarikat asing, Malaysia memperoleh kilang, diikuti pekerja mahir, jurutera, pasukan reka bentuk bakat tempatan dan pada akhirnya mungkin mampu menubuhkan syarikat teknologi Malaysia sendiri.
-- BERNAMA