Skip to main content

Bisnes

Google tidak perlu jual Android, Chrome tetapi diarah kongsi data carian

61756875467_androidmarshmallow.jpg
TAHUN lalu Google didapati bersalah melakukan perniagaan secara monopoli oleh mahkamah Amerika Syarikat kerana melakukan perniagaan yang tidak menggalakkan persaingan.

Hari ini mahkamah menetapkan Google tidak perlu menjual Chrome dan Android seperti beberapa ramalan yang dilakukan penganalisis selepas mereka didapati bersalah.

Sebaliknya, Google kini diperlukan berkongsi data mengenai carian Search dengan pesaing mereka.

Google sebelum ini berkata mereka enggan berkongsi data carian ini kerana tidak mahu privasi pengguna terjejas.

Data yang dikumpul Search memberikan Google kelebihan dalam pasaran pengiklanan di mana ia merupakan penyumbang terbesar kepada operasi mereka.

Apabila muncul ura-ura Chrome mungkin perlu dijual, beberapa syarikat seperti Perplexity, OpenAI dan Yahoo menunjukkan minat untuk membelinya.

Data carian Search kini bukan sahaja adalah lubuk emas pendapatan tetapi menjadi kunci untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi kiblat menuju ke arah dominasi majoriti syarikat teknologi utama dunia. 





Must Watch Video